Kuala Lumpur Post

Social

Lelaki cuba cabul wanita di stesen LRT diburu

KUALA LUMPUR — Polis Bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bekerjasama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan seorang lelaki yang menceroboh trek Transit Aliran Ringan (LRT) dan cuba mencabul seorang penumpang wanita di Stesen LRT Maluri, pagi semalam.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan dalam kejadian kira-kira 7.58 pagi itu, suspek yang dipercayai mengalami gangguan mental disyaki menceroboh trek LRT menerusi platform 1 ke platform 2 sebelum cuba mencabul seorang daripada wanita yang sedang menunggu tren di platform berkenaan.

“Anggota Polis Bantuan yang sedang bertugas di platform bertentangan bergegas turun ke bawah untuk ke platform tempat kejadian bagi memberikan bantuan kepada mangsa yang sedang bergelut dengan suspek.

“Orang awam yang melihat kejadian itu turut membantu dan berjaya meleraikan mangsa daripada suspek, namun gagal diberkas kerana dia sangat agresif,” maklum kenyataan itu.

Bagaimanapun, suspek sekali lagi bertindak menceroboh landasan tidak lama selepas itu dan mengetuk dinding tren yang kebetulan sedang berhenti di stesen, sebelum meloloskan diri dari stesen berkenaan pada 8.05 pagi.

Kenyataan itu turut memaklumkan, mangsa dan saksi kemudian dibawa oleh anggota polis ke balai untuk tindakan lanjut.

“Rapid Rail kesal dengan kejadian yang berlaku dan tindakan segera telah diambil dengan menambah anggota polis bantuan di stesen-stesen untuk meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan perkara yang sama berulang,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang wanita berusia 27 tahun pagi semalam dan usaha mengesan lelaki berkenaan sedang giat dijalankan.

Katanya, polis juga mengesan kejadian itu menerusi video berdurasi satu minit 10 saat dalam aplikasi Twitter kira-kira 9 pagi tadi yang memaparkan seorang lelaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di platform LRT Stesen Maluri, Cheras di sini.

“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan lelaki terbabit boleh memaklumkan kepada pihak polis melalui talian Hotline Polis Cheras 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan, lapor Bernama.

Tags: , ,