Social
246

Lelaki dakwa 14 ahli keluarga korban Covid-19 raih sumbangan RM91,000

Johor Bahru – Pekerja kepada kontraktor di Kompleks Bersepadu Pengerang yang mendakwa 14 anggota keluarganya meninggal dunia akibat COVID-19, telah berjaya meraih simpati orang ramai hingga mengumpulkan derma berjumlah RM91,000 sejak Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai menyebarkan berita palsu kematian anggota keluarganya bagi mendapatkan sumbangan itu ditahan ketika hadir di Balai Polis Bayu Damai, Kota Tinggi, semalam, serta direman empat hari mulai hari ini.

“Maklumat tular menerusi media sosial WhatsApp dan Facebook yang mendakwa lelaki tersebut berdepan dengan ujian berat akibat kehilangan keluarga telah menarik simpati orang ramai untuk memberikan sumbangan derma yang dimasukkan ke dalam akaun bank lelaki itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat penilaian sebelum membuat apa-apa sumbangan atau derma supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Terdahulu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam satu kenyataan mengesahkan seorang pekerja kepada kontraktor di Kompleks Bersepadu Pengerang dekat Kota Tinggi telah ditahan pihak berkuasa berhubung dakwaan palsu kehilangan ramai anggota keluarga disebabkan jangkitan COVID-19, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu