Social
192

Lelaki diculik rakan senegara

Kuala Lumpur – Polis menyelamatkan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai diculik dua rakan senegara di sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa yang berusia 39 tahun itu daripada majikannya yang memaklumkan pekerjanya telah hilang sejak 27 Ogos lepas dan dipercayai dilarikan suspek ketika berada di kawasan Taman Jelok Ria, di sini.

“Suspek menghubungi isteri mangsa yang berada di Bangladesh untuk memasukkan wang tunai satu juta Taka (anggaran RM50,000) ke akaun bank Bangladesh. Isteri mangsa yang ketakutan telah melakukan transaksi berkenaan ke satu akaun bank tempatan Bangladesh yang tidak dikenali.

“Selepas tiga hari diculik, suspek telah meminta tambahan sebanyak satu juta Taka (RM50,000) untuk membebaskan mangsa yang disembunyikan di satu tempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat telah kehabisan duit, isteri mangsa telah menghubungi majikan suaminya itu untuk meminta bantuan dan pengadu bertindak membuat laporan polis semalam.

Mohd Zaid berkata anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menahan empat suspek berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun di hadapan sebuah kedai di TTDI Grove Kajang dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan dibuat.

“Hasil soal siasat, suspek telah membawa polis ke kawasan perumahan di Bandar Teknologi Kajang dan menemukan mangsa di dalam sebuah bilik kecil di tingkat atas rumah dalam keadaan lemah serta kedua-dua tangan bergari manakala kedua kakinya dirantai dan dikunci dengan mangga.

“Semasa polis menyelamatkan mangsa, seorang wanita warga tempatan yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek turut ditahan manakala kesemua suspek terlibat akan dibawa ke Mahkamah Kajang pada hari ini untuk direman,” katanya.

Menurut beliau kes disiasat di bawah Seksyen 365/384 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara salah serta Seksyen 384 kanun sama kerana melakukan pemerasan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu untuk tampil membantu pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu