Kuala Lumpur Post

Social

Lelaki didakwa cederakan anggota polis, langgar kereta peronda

MELAKA — Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, dekat sini, hari ini, atas empat pertuduhan termasuk melakukan khianat dengan melanggar kereta peronda dan mencederakan anggota polis.

Tertuduh, Wan Khairul Aslam Wan Mat, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan pertuduhan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan khianat dengan cara mengundur kereta dipandunya dan melanggar kereta dipandu Sarjan Muhammad Haniff Hashim sehingga menyebabkan kerosakan bernilai RM2,358.15 di Lorong Kekwa 11, Peringgit, di sini, pada jam 4.45 pagi, 4 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap Lans Koperal Alif Danial Hermi yang sedang menjalankan kewajipan hingga menyebabkan pengadu cedera pada tarikh, masa dan tempat sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 353 KK dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 7.74 gram di Jalan Solok Pantai Peringgit, Kampung Pantai Peringgit pada tarikh dan masa sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun dan sebat antara tiga hingga sembilan sebatan.

Sementara bagi pertuduhan keempat, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 iaitu memberikan dadah methamphetamine kepada diri sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar mencadangkan jaminan berjumlah RM24,000 bagi semua pertuduhan, namun peguam Ishak Mohd Kari merayu jaminan minimum.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 22 Februari depan untuk sebutan bagi serahan dokumen serta mendapatkan laporan kimia dan patologi.

Tags: , ,