Social
178

Lelaki didakwa lakukan aksi lucah depan wanita

Kota Bharu – Seorang lelaki warga Thailand yang tular dalam media sosial baru-baru ini kerana membuat isyarat lucah terhadap seorang wanita tempatan, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas perbuatannya itu.

Abdulloh Wae-Samaae, 30, yang bisu membuat pengakuan itu dengan hanya mengangguk selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohamad Ghulam.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah membuat isyarat mengaibkan kehormatan terhadap seorang wanita berusia 23 tahun yang kelakuan itu telah mengganggu kesantunan mangsa di tepi jalan Lorong Limau Manis 1, Kampung Limau Manis di sini, pada 9.25 pagi, 27 April lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh pendatang tanpa izin dan menetapkan 30 Mei ini untuk fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Siti Aisyah Abdul Manah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 27 April lepas, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi empat minit tular dalam media sosial, memaparkan seorang lelaki sedang mengayuh basikal melakukan aksi lucah terhadap seorang wanita yang berada di dalam sebuah kereta di tepi jalan di sekitar taman perumahan dekat sini dan ia turut memaparkan wanita berkenaan terpaksa berlari untuk menyelamatkan diri. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu