Social
429

Lelaki didakwa miliki 58 pakaian dalam wanita

Petaling Jaya – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal memberi keterangan memuaskan berhubung pemilikan 58 helai pakaian dalam wanita di rumahnya, Selasa lepas.

Ong Kok Thye, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret M. Bharat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki 58 helai pakaian wanita termasuk seluar dalam, baju dalam dan seluar pendek yang mana tertuduh tidak dapat memberikan keterangan memuaskan bagaimana barangan tersebut diperoleh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Dataran Mentari, di sini, mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustafa menawarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan berhubung ikat jamin itu.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tiada penjamin hadir dan menetapkan 9 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas seorang wanita membuat laporan polis berhubung kehilangan beberapa pakaian dalam miliknya dalam kejadian di sebuah kondominium. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu