Kuala Lumpur Post

Social

Lelaki disyaki ugut, hina PM ditahan

KUALA LUMPUR — Polis mengesahkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki mengugut dan menghina Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata lelaki warga tempatan berumur 41 tahun itu ditahan pada 3.20 petang semalam di Taman Desa Budiman, Bedong, Kedah.

Beliau berkata polis menerima laporan berhubung perkara itu dan mengerahkan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk menahan lelaki yang bekerja sebagai tukang urut itu.

“Akaun Facebook suspek dikenali sebagai ‘Joe Jebat Tajudin’ telah menulis hantaran berbaur ugutan itu Sabtu lepas,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah itu direman empat hari bermula hari ini sehingga Khamis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai kes Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, institusi diraja dan kaum) dalam ceramahnya di Johor baru-baru ini, Mohd Shuhaily berkata polis akan memanggil Abdul Hadi dalam tempoh terdekat untuk diambil keterangan.

“Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PDRM juga telah menghubungi beliau (Abdul Hadi) untuk bertanyakan bila beliau ada masa lapang untuk disoal siasat berhubung kes ini,” katanya.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat hari ini mengesahkan telah menyiasat kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, dua hari lepas.

Tags: , , ,