GEORGE TOWN — Polis membongkar makmal memproses dadah selepas menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.6 juta bersama enam pistol serta 100 butir peluru dalam serbuan di sini pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Khaw Kok Chin berkata, bertindak atas maklumat dan risikan sejak dua minggu lalu, polis menahan lelaki 38 tahun itu di persimpangan Jalan Changkat Sungai Ara, dekat sini kira-kira 5.30 petang.
Menurutnya, lelaki dipercayai terbabit kegiatan memproses dan mengedar dadah itu ditahan dalam Honda HRV, namun pemeriksaan awal tidak menemui sebarang dadah bersamanya.
“Polis kemudian menyerbu sebuah rumah teres tiga tingkat di kawasan perumahan mewah di Taman Hijauan Setia, Sungai Ara dan mendapati kediaman itu dijadikan makmal memproses heroin,” katanya dalam sidang media di IPK Pulau Pinang yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri, Hamzah Ahmad.
Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis merampas 42 bungkus heroin seberat 13,839g, heroin base 376g, kafein (93,874g) di samping bahan kimia serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
Khaw berkata, hasil soal siasat suspek pada Sabtu, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Batu Uban, di sini dan pemeriksaan mendapati kediaman itu dijadikan stor menyimpan pelbagai jenis dadah.
Katanya, 45 bungkusan syabu seberat 46,191g, 91 ketulan mampat heroin base (33,764g), kafein (24,147g), lapan botol cecair disyaki bahan kimia untuk memproses dadah, enam pistol pelbagai jenis dan 100 butir peluru disimpan dalam sebuah beg hitam di almari dirampas.
“Pistol dirampas jenis Smith&Wesson, Walter, Glock, Mauser-Werke, Star Eibar dan Revolver Smith&Wesson. Polis turut merampas sekotak Master .38 Special Cartridges mengandungi 50 butir peluru hidup dan sekotak Master 9mm Para Cartridges mengandungi 50 butir peluru hidup,” katanya sambil menambah semua dadah dirampas boleh digunakan 2.6 juta penagih.
Beliau berkata, lelaki itu disyaki menjalankan kegiatan berkenaan bersendirian, namun polis percaya suspek mempunyai orang suruhan yang membantunya memproses serta mengedar dadah dan giat mengesan rangkaian sindiket itu.
Menurutnya, suspek dipercayai belajar cara memproses dadah daripada rakannya di Kuala Lumpur menerusi WhatsApp dan talian telefon, manakala bekalan dadah diperoleh dari negara jiran dan pasaran dadah itu untuk tempatan, khasnya Pulau Pinang, negeri utara serta Lembah Klang.
Khaw berkata, suspek menjalankan kegiatan itu sejak Januari lalu dan tidak menolak kemungkinan suspek ialah ketua sindiket susulan amalan gaya hidup mewahnya.
Polis turut menyita pelbagai aset bernilai RM424,000, termasuk Honda HRV, Perodua Myvi, Toyota Alphard dan Volkswagen Arteon serta motosikal jenama BMW dan Yamaha XMAX.
“Dia juga mempunyai sebuah rumah teres di Rawang, Selangor dan sebuah kondominium didaftar atas nama isterinya, masing-masing bernilai RM550,000. Berdasarkan siasatan, isterinya tidak tahu kegiatan haram dijalankan suspek,” katanya yang menambah nilai rampasan dadah dan sitaan dianggarkan RM5.03 juta.
Beliau berkata, lelaki tidak bekerja itu direman hingga 1 Jun ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.