KUALA LUMPUR — Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai cuba menyerang dan merampas senjata seorang anggota di Balai Polis Dato Keramat di George Town, Pulau Pinang.
Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, suspek yang menunggang motosikal, menghampiri seorang anggota polis yang berkawal di pintu pagar dan meminta untuk masuk, lapor Berita Harian.
Suspek dilaporkan tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota berkenaan selepas ditanya tujuannya dan terus menceroboh masuk ke perkarangan balai berkenaan.
Menurut sumber yang memberitahu akhbar itu, anggota berkenaan cuba menenangkan lelaki itu tetapi suspek secara tiba-tiba membuka topi keledarnya dan menyerang anggota tersebut.
Katanya, suspek juga cuba merampas submesingan jenis HK MP5 milik anggota berkenaan namun gagal.
Suspek berjaya ditangkap selepas seorang lagi anggota polis datang membantu. Lelaki itu juga mengalami kecederaan di muka dan tangan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Lelaki itu juga dilaporkan berada dalam keadaan mabuk tetapi saringan ujian air kencing didapati negatif dadah.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad memberitahu Berita Harian pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Insiden tersebut adalah kejadian kedua membabitkan balai polis, selepas tiga maut termasuk dua anggota polis selepas seorang lelaki menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor.
Dalam kejadian 2.45 pagi Jumaat, dua anggota polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut diserang lelaki bersenjatakan parang, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu, Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.
Suspek kejadian itu yang berusia 21 tahun juga mati ditembak.