Social
141

Lelaki ditahan dipercayai bunuh ibu saudara sendiri

Ipoh – Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai membunuh ibu saudaranya dalam satu kejadian di Kampung Cina, Menglembu di sini petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 3.10 petang Selasa, berhubung kejadian seorang wanita yang pengsan dan tidak sedarkan diri, sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk siasatan lanjut.

“Setibanya di lokasi, pihak kami menemui seorang wanita yang terbaring di tepi katil dengan keadaan berlumuran darah.

“Pemeriksaan forensik mendapati wanita berumur kira-kira 70 tahun itu telah meninggal dunia di tempat kejadian dan terdapat sebilah pisau di belakang lehernya selain kesan tikaman dan kelar. Seorang lelaki, yang merupakan anak saudara mangsa berumur 40 tahun, ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Yahaya berkata mayat wanita tersebut telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, siasatan juga akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk sama ada suspek mempunyai rekod sejarah perubatan dengan mana-mana hospital sebelum ini.

Sementara itu, seorang jiran mangsa A.Lingam, 37, berkata ahli keluarga mangsa ada memaklumkan bahawa suspek pernah meracau beberapa hari lepas, dipercayai akibat sakit mental yang dihadapinya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu