Social
323

Lelaki ditahan pecahkan 13 cermin kenderaan

Kuala Langat – Seorang lelaki dipercayai mempunyai tekanan mental ditahan selepas pecahkan sebanyak 13 cermin kenderaan menggunakan sebatang besi sepanjang 1.2 meter di kawasan parkir hadapan sebuah bank di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kejadian pertama disaksikan sendiri pemilik kenderaan yang memegang besi tersebut sebelum memecahkan cermin depan kenderaannya.

Katanya, suspek kemudiannya mengulangi perbuatan dengan memecahkan 12 lagi cermin kenderaan lain di lokasi tersebut.

“Sepasukan Unit Kereta Peronda (MPV) telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat sebelum menangkap suspek dan merampas batang besi digunakannya.

“Hasil siasatan mendapati suspek adalah seorang penganggur dan merupakan penduduk tempatan serta belum berkahwin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan awal mendapati suspek dipercayai mengalami tekanan emosi dengan semakan awal mendapati suspek pernah dirawat sebagai pesakit mental.

Ahmad Ridhwan menambah, suspek bagaimanapun sudah lama tidak menerima rawatan psikiatri dari mana-mana hospital sakit jiwa.

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan narkotik namun ujian air kencing mendapati lelaki negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Setakat ini, pihak polis telah terima lima laporan polis daripada pemilik kereta yang mengalami kerugian daripada kejadian tersebut,” jelasnya.

Kes disiasat mengikit Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat, lapor Kosmo Online.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu