Social
193

Lelaki ditemui mati dengan kesan kelar di leher

Batu Pahat Р Seorang lelaki berusia 32 tahun ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah dan kesan kelar di leher di dalam bilik rumahnya di Taman Nira, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, polis menerima maklumat awam pada jam 4.30 petang menyatakan mangsa mengalami cedera parah dan tidak sedarkan diri.

“Susulan itu, pihak polis segera ke tempat kejadian bagi menyiasat punca kejadian dengan bantuan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Mangsa ditemui oleh bapanya dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di bilik dalam rumah dengan beberapa kesan kelaran di leher,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ismail berkata, sebilah pisau turut ditemui berhampiran mangsa dan siasatan awal mendapati, tiada sebarang kesan pecah masuk di dalam rumah ditemui serta tiada barang yang hilang daripada rumah berkenaan.

“Mangsa dipercayai baru sahaja kelmarin pulang ke rumah keluarganya di Batu Pahat dari tempat tinggalnya di Kuala Lumpur.

“Mangsa dipercayai dihantar pulang oleh dua orang rakannya,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir ibu dan bapa melihat mangsa adalah pada tengahari semalam ketika mereka mahu keluar bekerja.

“Ketika kejadian, tiada ahli keluarga lain di rumah dan berdasarkan keterangan awal keluarga mengesahkan mangsa ada mengadu mengalami tekanan perasaan dan ada mengambil ubat penenang.

“Pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dipanggil bagi membantu dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan pihak polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut serta proses bedah siasat sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian. – Harian Metro

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu