Social
128

Lelaki hancur tangan akibat mercun buatan sendiri

Gua Musang – Seorang lelaki cedera parah termasuk hancur tangan kanan apabila mercun buatan sendiri menggunakan botol cecair vape meletup di tangannya dalam kejadian di rumahnya di Kampung Batu Papan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ketika mangsa yang berusia 23 tahun itu sedang meraikan 1 Syawal bersama-sama ahli keluarga yang lain.

“Siasatan awal mendapati mangsa membuat sendiri mercun itu dengan menggunakan belerang daripada 50 biji mercun bola yang kemudian dimasukkan ke dalam botol cecair vape yang kosong sebelum dicucuh api.

“Botol berisi belerang itu meletup sebelum mangsa sempat melemparnya,” katanya yang dihubungi hari ini.

Sik berkata selain hancur tangan kanan, lelaki terbabit cedera di bahagian muka dan pecah gegendang telinga, kesan letupan yang terlalu kuat.

Menurutnya, mangsa yang digegaskan ke Hospital Gua Musang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.

“Pihak HSIP memaklumkan tangan kanan lelaki itu terpaksa dipotong namun dia berada dalam keadaan stabil,” katanya menambah kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu