Social
779

Lelaki langgar lampu merah didakwa membunuh

Muar –  Pengusaha pasar mini didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh wanita, kelmarin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Gui Chui, 69, kerana ia di luar bidang kuasa Mahkamah Majistret.

Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa mandarin di hadapan Majistret, Zuraidah Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian kepada Norain Abu Samah, 41.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di persimpangan lampu isyarat, Jalan Pintasan Bandar, Jalan Temenggong Ahmad dekat Muar, 7.45 pagi, Ahad lalu.

Pertuduhan ke atas tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi manakala tertuduh diwakili peguam, RK Balakrishnan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Mei depan bagi tarikh sebutan semula.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Temenggong Ahmad dekat Muar.

“Dalam kejadian pada 7.45 pagi, mangsa Norain Abu Samah, pemandu Perodua Myvi itu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

“Sementara, anak Norain, Nur Nabila Alisha Mohd Zalisham, 19, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan parah, manakala 14 mangsa lain tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu