Social
386

Lelaki langgar MPV polis diburu

Kuala Lumpur – Polis sedang memburu seorang suspek lelaki yang memandu sebuah kereta secara melulu dan melanggar kereta peronda (MPV) polis Ibu Pejabat Polis Subang Jaya di Subang Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata dalam kejadian 7.25 malam itu, suspek yang menaiki kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback diarah berhenti untuk pemeriksaan oleh anggota peronda selepas didapati memandu dalam keadaan mencurigakan di sekitar Jalan PJS 7/19, Bandar Sunway.

Ketika berhenti, suspek dilaporkan mengundur dengan laju secara tiba-tiba hingga melanggar kenderaan MPV dinaiki anggota peronda sebelum melarikan diri, namun sekali lagi berjaya disekat di jalan susur keluar Lebuhraya NPE.

“Suspek bagaimanapun sekali lagi mengundurkan kenderaannya dan melanggar MPV itu (kali kedua) dan mengakibatkan kerosakan teruk di bahagian hadapan sehingga tidak dapat bergerak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dua anggotanya yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami kecederaan.

Abd Khalid berkata siasatan awal mendapati kenderaan digunakan suspek pernah dilaporkan hilang di Batu 9, Cheras pada 21 Jun dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 188 kanun yang sama kerana mengingkari perintah oleh penjawat awam serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu