Social
280

Lelaki lemas cuba selamat rakan tergelincir ketika berswafoto

Kuala Lumpur – Seorang lelaki ditemukan lemas ketika cuba membantu rakannya yang tergelincir ketika berswafoto berdekatan kawasan empangan di jambatan Kampung Pertak, Kuala Kubu Bahru, Selangor, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata mayat mangsa berusia 19 tahun itu ditemukan kira-kira 6 petang.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan pada 3.54 petang sebelum anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, mangsa cuba menyelamatkan rakannya yang tergelincir dari jambatan ketika sedang berswafoto.

“Rakannya yang berusia 20 tahun itu berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sebelum pihak bomba sampai di lokasi namun mangsa yang bertindak terjun untuk menyelamatkannya pula tidak timbul,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Norazam turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti berkelah atau bercuti di kawasan berair seperti sungai dan empangan, serta beredar sekiranya hujan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat, kepala air atau kenaikan paras air secara mendadak, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu