Social
154

Lelaki lemas selepas selamatkan adik

Hutan Melintang – Lelaki dikhuatiri lemas selepas menyelamatkan adik lelakinya ketika mandi di Sungai Perak, Kampung Tebing Rebak di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 5.30 petang itu, mangsa berusia 21 tahun bersama adiknya berusia 15 tahun dan beberapa kawan sekampung mandi di sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata ketika sedang mandi adik mangsa tiba-tiba dihanyutkan arus sungai.

Katanya, mangsa yang juga pelajar sebuah universiti itu cuba menyelamatkan adiknya.

“Mangsa kemudian berjaya menolak adiknya ke atas (permukaan sungai) dan diselamatkan oleh bot orang kampung yang kebetulan melalui lokasi.

“Bagaimanapun, mangsa tenggelam dihanyutkan arus deras,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, pasukan bomba bersama polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) giat melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan turut dibantu penduduk kampung.

“Setakat ini mangsa belum dijumpai,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang menerima panggilan kecemasan pada 5.45 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Operasi pencarian sedang dilakukan merangkumi jarak sejauh tujuh kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas,” katanya. – BH Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu