Social
199

Lelaki lemas terjun sungai selepas dikejar

MELAKA — Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjun ke Sungai Melaka berhampiran Kampung Pengkalan Rama Pantai, di sini, ketika mangsa dikatakan dikejar sekumpulan lelaki lain.

Mayat lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditemukan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah jam 8.46 malam Jumaat.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khairudin Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.07 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota dari BBP Melaka Tengah dikejarkan ke lokasi dan operasi mencari dan menyelamat dimulakan jam 7.20 malam.

“Mangsa dijumpai berhampiran lokasi tempat dia dilaporkan terjun oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Seorang saksi, Mimie Suraya Mohd, 25, berkata sebelum kejadian, dia sedang bekerja di pos pengawal di Taman Rempah berhampiran lokasi, sebelum terdengar bunyi bising sekumpulan individu mengejar lelaki berkenaan kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya, rakannya yang tersentak dengan kejadian itu mengekori lelaki berkenaan bagi mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Tidak lama kemudian, rakan beritahu lelaki yang dikejar itu sudah terjun ke dalam sungai dan tidak ditemui,” katanya ditemui di lokasi, lapor BH Online.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu