Social
424

Lelaki mati ditembak, cuba serang polis

Padang Besar – Seorang lelaki maut ditembak selepas bertindak menyerang anggota polis dengan sebilah pedang dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Saifudin Aslin Abbas berkata terdahulu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padang Besar tiba di rumah itu pada kira-kira 5.30 petang selepas menerima aduan daripada seorang suri rumah mendakwa didera suaminya.

“Tindakan lelaki berusia 55 tahun itu yang enggan keluar dari rumah telah memaksa anggota polis memasuki rumah berkenaan melalui tingkap.

“Lelaki itu yang memegang sebilah pedang bertindak agresif hingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis lalu polis melepaskan satu tembakan amaran,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan kedua demi melindungi keselamatan semua anggota polis dan anak lelaki itu selepas lelaki berkenaan terus bertindak agresif menyerang polis.

Menurutnya lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.

Lelaki itu mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah, ugutan jenayah, khianat serta kesalahan di bawah Akta Racun.

Kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu