Social
447
0

Lelaki mati ditetak

Kuala Lumpur – Seorang lelaki warga tempatan ditemukan mati dipercayai ditetak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri, Kepong, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata siasatan awal mendapati, sebelum kejadian mangsa berusia 21 tahun itu datang ke lokasi kejadian untuk memasang khemah.

Katanya, mangsa kemudian dipercayai pergi ke Blok E untuk membeli makanan sebelum didatangi dua suspek yang menaiki motosikal dengan salah seorang daripadanya turun dan menetak mangsa.

“Akibat serangan tersebut, mangsa berlari ke blok lain bangunan berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter untuk menyelamatkan diri sebelum ditemui orang awam kira-kira jam 10 pagi. Susulan penemuan itu, seorang penganggur berusia 25 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beh berkata pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan tidak menemui sebarang senjata yang digunakan suspek.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat manakala pihaknya sedang mengesan saksi yang melihat kejadian itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, sepasang suami isteri ditahan di Taman Batu Jinjang, Sentul semalam kerana disyaki mendera selain tidak membayar gaji pembantu rumah mereka ekoran tidak berpuas hati dengan kerja mangsa.

Beh berkata pasangan berusia 42 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 petang semalam susulan laporan yang dibuat oleh orang awam pada hari yang sama.

“Hasil serbuan di rumah itu, kami berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dipercayai didera majikannya,” katanya sambil menambah, mangsa telah bekerja di rumah suspek selama 13 bulan.

Katanya, mangsa dihantar ke HKL untuk rawatan lanjut dan suspek direman selama lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2017 (Akta 670). – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu