KLANG — Lelaki ditemui mati dalam keadaan tertiarap, dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Jaya, Kapar, pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada 11.39 pagi.
“Anggota polis menemukan mayat lelaki tempatan berusia 38 tahun dalam keadaan meniarap di hadapan bilik tidur.
“Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (cctv) mendapati empat lelaki masuk ke rumah itu dengan bersenjatakan parang dan ‘taser gun’.
“Seorang lagi suspek menunggu dalam kereta di hadapan rumah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan termasuk mengenal pasti motif kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.