Social
647

Lelaki maut, anak saudara cedera parah ditembak

Marang – Seorang lelaki maut manakala anak saudaranya cedera parah akibat ditembak oleh seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam kejadian di Taman Raya, Wakaf Tapai dekat sini hari ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada 2 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Mangsa yang mati ditembak dikenali sebagai Fong Swee Fuan, 65, yang juga bekas Ketua MCA Bahagian Marang manakala anak saudaranya yang cedera parah dikenali sebagai Teo Hock Beng, 45.

Suspek berusia 53 tahun yang merupakan rakan baik Swee Fuan dipercayai menembak kedua-dua mangsa menggunakan senapang patah milik Rela.

Dia kemudiannya dipercayai melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan roda sebelum berjaya ditahan polis bersama selaras senapang dan beberapa butir peluru di Durian Mentangau, Dungun tidak lama kemudian.

Menurutnya, motif sebenar kejadian berkenaan masih dalam siasatan dan masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

“Mengenai dakwaan yang mengatakan kejadian ada kaitan dengan kes judi dan minuman keras, tiada sebarang botol minuman keras atau unsur perjudian di lokasi kejadian.

“Kita sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Mayat Fong dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat,” katanya.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu