Kuala Lumpur Post

Social

Lelaki maut dibelasah gara-gara pokok timun

KLUANG — Hanya kerana mempertahankan pokok timun, seorang lelaki warga Bangladesh maut dibelasah dalam pergaduhan di sebuah asrama pekerja asing di Jalan Mengkibol di sini.

Mangsa, Md Rubel Howlader, 31, yang bekerja sebagai operator disahkan meninggal dunia jam 1.56 petang semalam, selepas dua hari menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Md Noh, mengesahkan kematian mangsa susulan pergaduhan membabitkan pekerja asing yang berlaku Khamis lalu.

Susulan kejadian itu, katanya, polis merampas sebilah parang dengan hulu berwarna merah sepanjang 0.6 meter dan dua batang paip besi sepanjang 0.9 meter yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

Beliau berkata, kertas siasatan yang pada mulanya dibuka mengikut Seksyen 148/ 326 Kanun Keseksaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Tempat kejadian adalah asrama pekerja kilang yang menempatkan dua blok asrama diduduki pekerja warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

“Kejadian berlaku di hadapan bilik asrama di blok pertama dan pergaduhan berpunca kerana pokok timun yang ditanam si mati dirosakkan oleh suspek warga Myanmar.

“Si mati bersama rakan-rakannya iaitu warga Bangladesh bertanyakan kepada suspek berkenaan pokok yang dipotong, sebelum berlaku pergaduhan antara mereka,” katanya.

Bahrin berkata, pada petang Khamis lalu mangsa yang mengalami kecederaan pada kepala tidak sedarkan diri sebelum keadannya kritikal dan dirujuk ke hospital.

Sehubungan itu, polis menahan lima lelaki warga Myanmar berusia dari 21 hingga 41 tahun dan lima lelaki warga Bangladesh berusia 30 hingga 40 tahun dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu.

Semua suspek direman tujuh hari sehingga 2 Februari depan, lapor BH Online.

Tags: , , ,