Kuala Lumpur Post

Social

Lelaki maut dihempap dinding konkrit

PETALING JAYA — Seorang lelaki maut akibat dihempap dinding konkrit sebuah rumah kosong dalam kejadian di Felda Kota Gelanggi Satu, Jerantut, malam kelmarin.

Ketua Polis Jerantut, Azman Mat Kamis, berkata mangsa, Mohd Asri Azam, 41, ditemui mati di tempat kejadian kira-kira 8 malam.

Katanya, mangsa ditemui terbaring dalam keadaan mengiring di atas lantai manakala konkrit dinding berada di bahagian atas sisi badannya.

“Hasil siasatan ke atas tubuh mangsa, tiada sebarang kecederaan atau kesan perbuatan khianat atau jenayah,” katanya dalam satu kenyataan media semalam, menurut Berita Harian.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat ibu mangsa, Minah Mat Husin, 75, anak lelakinya memaklumkan ingin pergi ke rumah kosong berhampiran rumah mereka untuk membersihkan kawasan belakang.

Bagaimanapun katanya, mangsa tidak menyahut ketika ibunya memanggilnya pulang untuk berbuka puasa, kira-kira 7 malam.

“Oleh kerana tiada maklum balas, ibunya pergi mencari mangsa dan menemuinya meninggal di atas lantai dengan dinding konkrit menghempap atas badan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat selepas ujian Covid-19 diketahui,” katanya.

Katanya, punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian leher kesan dihempap dinding konkrit.

“Kematian itu diklasifikasikan mati mengejut (SDR),” katanya.