Kuala Lumpur Post

Social

Lelaki maut dirempuh selepas sempat keluar dari kenderaan terbabit kemalangan

LAHAD DATU — Seorang lelaki sempat keluar daripada kenderaanya selepas kemalangan, namun malangnya dia dirempuh kenderaan lain ketika berada di tengah jalan.

Kejadian itu berlaku Kilometer 35 Jalan Lahad Datu-Sandakan di sini pada 12.30 tengah malam semalam, menyebabkan pemandu Nissan Navara berusia 38 tahun itu meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang penumpang lelaki berusia 30 tahun dari arah Lahad Datu, menurut laporan Harian Metro.

“Apabila tiba di lokasi, kenderaannya terbabas dan masuk ke laluan bertentangan serta terlanggar Ford Ranger dipandu lelaki berusia 49 tahun dari arah Sandakan.

“Nissan Navara mangsa berpusing dan Ford Ranger itu terbabas ke kiri jalan.

“Mereka (pemandu dan penumpang Nissan Navara) kemudian keluar daripada kenderaan dan berdiri di tengah jalan, sebelum tiba-tiba kenderaan Isuzu D Max dipandu lelaki berusia 47 tahun dari arah Lahad Datu terlanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu dan penumpang lain tidak cedera.

“Siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya yang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke IPD Lahad Datu.