Kuala Lumpur Post

Social

Lelaki maut ditetak kumpulan bertopeng

JASIN — Seorang lelaki maut selepas ditetak sekumpulan individu bertopeng yang bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata dalam kejadian jam 8.39 malam itu, mangsa berusia 24 tahun yang cedera sempat menghubungi adik lelakinya berumur 22 tahun untuk membawanya mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Jasin.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 10.15 malam ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Selepas adik mangsa menghantarnya ke hospital, kereta dipandu lelaki terbabit dihalang sebuah lagi kereta dinaiki sekumpulan lelaki yang turut membawa parang sebelum bertindak memecahkan cermin keretanya.

Bagaimanapun, Ahmad Jamil berkata, adik mangsa berjaya menyelamatkan diri daripada kumpulan lelaki itu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Susulan itu, beliau berkata, tiga lelaki berusia 21, 22 dan 31 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, usaha mengesan suspek lain yang masih bebas sedang giat dijalankan, dan motif atau punca kejadian masih dalam siasatan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohamad Ehsan Abu Bakar melalui talian 016-5209501 atau 06-529 2222 (sambungan 206).