Social
246

Lelaki maut ditetak rakan gara-gara telefon bimbit

Butterworth – Seorang lelaki maut akibat ditetak rakan serumahnya dipercayai kerana pergaduhan yang berpunca daripada kehilangan telefon bimbit seorang rakan mereka, di sebuah rumah di Jalan Pak Abu, Kampung Telaga Air di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menerima laporan kejadian terhadap lelaki berusia 30 tahun itu pada 7.35 malam.

“Berdasarkan keterangan saksi iaitu adik lelaki tiri suspek, dia yang tinggal di rumah bersebelahan terdengar pertengkaran mulut antara abang tirinya yang menyewa rumah itu bersama si mati dengan beberapa lagi rakan pada 7.30 malam.

“Menurut saksi itu, dia bagaimanapun tidak melihat pertengkaran tersebut sehinggalah nampak si mati dibawa ke pondok di hadapan rumah oleh dua rakan serumah si mati sebelum kedua-duanya menghubungi ambulans berikutan si mati cedera parah akibat ditetak,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Noorzainy berkata mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya dan disahkan meninggal dunia pada 9.17 malam ketika menerima rawatan akibat cedera parah di betis dan jari.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di kawasan Mak Mandin pada 9 pagi tadi dan menerusi siasatan awal, lelaki itu mengaku berlaku pertengkaran mulut dan pergelutan antaranya dengan mangsa.

Katanya hasil ujian saringan awal darah mendapati mangsa positif dadah dan memiliki 15 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah manakala suspek yang mempunyai 22 rekod lampau berkaitan jenayah kini direman seminggu, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu