Social
318

Lelaki maut ditikam rakan serumah

Seremban – Seorang lelaki warga India maut dipercayai ditikam rakan serumahnya dalam pergaduhan di sebuah rumah di Taman Happy Jalan Pantai Batu 1, Port Dickson dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat mengenai insiden berkenaan pada pukul 2.30 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa, seorang pekerja am berusia 22 tahun bersama-sama rakannya warga Pakistan, 26, menikmati minuman keras di dalam bilik suspek di bahagian atas rumah kira-kira 12.30 tengah malam sebelum berlaku pertengkaran mulut dipercayai selepas mangsa menyatakan meminati adik lelaki itu.

“Pergaduhan itu menyebabkan mangsa ditikam menggunakan sebilah pisau berukuran 30 sentimeter dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di bahagian dapur di tingkat bawah pada pukul 1.50 pagi.

“Susulan kejadian itu, lelaki yang juga rakan sekerja mangsa itu ditahan selain pakaian, telefon bimbit dan pisau yang digunakan untuk menikam mangsa dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata difahamkan mangsa baru setahun bekerja di sebuah kilang di Port Dickson.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat manakala suspek direman tujuh hari mulai hari ini (3 Jan).

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan, katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu