Social
168

Lelaki mengaku bersalah dera anak kekasih

Butterworth – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan, yang merupakan anak kekasihnya, awal bulan ini.

Muhammad Fakhri Abdul Muthalib, 25, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi itu telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan lebam pada dahi, bahagian bawah mata dan bahagian perut mangsa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik sebuah pangsapuri di Jalan Harbour Place di sini pada 9 malam, 6 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun belum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh kerana menunggu laporan perubatan mangsa daripada Hospital Seberang Jaya.

Hakim Noor Aini Yusof membenarkan Muhammad Fakhri diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 April sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu