Social
337

Lelaki mengamuk libas parang, sabit atas kereta peronda polis

Gopeng – Balai Polis Gopeng di sini kecoh apabila seorang lelaki yang dipercayai penagih dadah bertindak liar dengan melibaskan parang dan sabit hari ini.

Malah lelaki berusia 61 tahun itu turut memanjat bumbung kereta peronda polis yang diletakkan di tengah jalan untuk menghalang orang ramai melalui Jalan Ipoh-Kuala Lumpur sambil melibaskan senjata berbahaya itu.

Malah, siasatan awal polis mendapati lelaki itu juga baru mengamuk di Pasar Awam Lawan Kuda sebelum merampas motosikal orang awam dan menuju ke balai polis berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu suspek memasuki kawasan Balai Polis Gopeng, Kampar dengan menaiki sebuah motosikal dan membawa parang dan sabit.

Menurutnya, suspek kemudian dilihat melibaskan parang dan sabit yang dibawanya di hadapan pintu masuk Pejabat Pertanyaan balai polis berkenaan.

“Anggota polis bertugas cuba menenangkan suspek serta menghubungi bantuan bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

“Suspek keluar dari kawasan balai dan menuju ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur namun disekat oleh pihak polis di hadapan pagar balai polis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, sebuah kereta peronda polis dari Balai Polis Gopeng diletakkan di tengah jalan sebelum itu bagi menghalang orang ramai daripada melalui kawasan terbabit.

“Suspek kemudiannya meluru ke arah kenderaan terbabit dan memanjat bumbung serta melibaskan parang dan sabit yang dibawa bagi mengelakkan dirinya didekati oleh pihak polis,” katanya.

Beliau berkata, pada kira-kira jam 9.30 pagi sepasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng tiba di tempat kejadian bagi membantu polis melakukan proses tangkapan.

“Suspek berjaya ditahan selepas pihak bomba menyembur air ke arahnya yang menyebabkan dia jatuh ke atas jalan dan suspek cedera ketika proses tangkapan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan heroin dan mempunyai 16 rekod lampau bagi kesalahan jenayah dan narkotik.

Menurutnya, turut dirampas adalah sebilah parang, sebilah sabit, motosikal dan empat bilah kunci.

Katanya, berdasarkan maklumat awal juga suspek mengamuk serta merampas motosikal milik orang lain di kawasan Pasar Awam Lawan Kuda dan kemudian menuju ke kawasan perumahan Kopisan sebelum masuk ke Balai Polis Gopeng, lapor BH Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu