Social
134
0

Lelaki nekad terjun dari kereta dalam kejadian samun

Parit – Seorang lelaki nekad terjun daripada kereta bagi meloloskan diri selepas dia dilarikan selama kira-kira 10 jam oleh empat lelaki dalam satu kejadian di Teluk Perang di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Perak Tengah DSP Nik Rosdi Nik Yahya berkata kejadian bermula kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin, apabila lelaki berumur 25 tahun yang sedang memandu kereta Honda itu ditahan oleh empat lelaki.

Beliau berkata dua daripada lelaki itu kemudiannya mengaku sebagai polis, sebelum mereka menyerkup kepala mangsa lalu membawanya menaiki kereta.

“Mangsa dibawa untuk satu tempoh masa yang panjang, dan badannya turut dipukul serta dia dipaksa menyerahkan barangan peribadi antaranya dua telefon bimbit, dompet berisi dokumen pengenalan diri dan kad ATM serta wang tunai RM200,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya pada satu ketika, lelaki itu nekad terjun daripada keretanya itu untuk menyelamatkan diri, dan dia mendapat pertolongan orang awam yang membawanya ke Balai Polis Taiping.

Nik Rosdi berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah menerima maklumat daripada Balai Polis Taiping mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 7.30 pagi tadi dan mendapati lelaki itu adalah individu yang sedang dikesan polis susulan satu laporan polis oleh seorang wanita awal pagi ini.

“Kira-kira pukul 1.40 pagi semalam, Balai Polis Parit menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 25 tahun menyatakan menerima panggilan telefon daripada suaminya sekitar pukul 9.30 malam pada Selasa memberitahu terlibat kemalangan di Simpang Papan, Pusing dan minta wang tunai RM50,000 sebagai ganti rugi kerosakan kenderaan yang dilanggarnya.

“Talian kemudian terputus dan wanita itu sekali lagi terima panggilan menyatakan harga diturunkan ke RM20,000 dan dia meminta bayaran segera dimasukkan ke akaun Maybank suaminya sebelum talian sekali lagi terputus dan telefon bimbit suaminya terus gagal dihubungi,” katanya.

Nik Rosdi seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan selain memaklumkan polis jika menemukan Honda HRV dengan nombor pendaftaran AKC 939 bagi membantu siasatan. ― Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu