Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Lelaki Palestin ditahan intai rumah pelajar wanita

PUTRAJAYA — Polis menahan seorang pelajar lelaki warga Palestin yang dipercayai mengintai sebuah rumah didiami pelajar wanita warga tempatan di Mutiara Ville di Cyberjaya, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mangsa membuat laporan setelah mendapat maklumat daripada jiran bahawa terdapat seorang lelaki disyaki berbangsa Arab mengintai rumahnya.

“Lelaki tersebut telah membuka cermin tingkap tandas dan berdiri di ruang tepi untuk mengintai dan mengambil seluar milik rakan serumah wanita itu. Perbuatan lelaki tersebut telah dirakam oleh jiran pengadu dan lelaki tersebut telah melarikan diri,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata mangsa kemudian membuat pemeriksaan di bahagian balkoni belakang dan mendapati sehelai seluar panjang warna kelabu milik rakan serumahnya tiada dan ketika kejadian, tiada sesiapa berada dalam tandas.

“Lelaki Palestin itu ditahan pada kira-kira 4 petang tadi di Mutiara Ville dan polis telah merampas telefon bimbit, baju, seluar dan selipar yang digunakan namun seluar milik rakan serumah pengadu belum dijumpai. Siasatan masih diteruskan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, lapor Bernama.

Tags: ,