Social
186

Lelaki palsukan surat panggilan saksi ditahan

Sungai Petani – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit memalsukan surat panggilan saksi dikeluarkan oleh polis dan diiklan untuk dijual di laman sosial.

Surat itu dipercayai digunakan untuk tujuan merentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata surat pegawai penyiasat yang dipalsukan itu boleh dibeli antara RM100 hingga RM200 sekeping.

Katanya, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di sebuah pasar raya di Melaka pada jam 9 pagi, 3 Jun lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

“Kita merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek untuk berkomunikasi dengan pelanggan menerusi aplikasi WeChat berhubung penjualan surat panggilan saksi yang dipalsukan.

“Tangkapan dilakukan susulan iklan yang dimuat naik menerusi WeChat yang menawarkan penjualan surat panggilan saksi untuk menghadirkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Petani,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, asalnya surat panggilan saksi itu dikeluarkan oleh pegawai penyiasat untuk seorang penama di Ipoh, Perak yang dipanggil membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, katanya, surat itu dipalsukan oleh suspek untuk dijual kepada orang ramai yang memerlukannya bagi kegunaan merentas negeri.

“Kegiatan ini terbongkar susulan penahanan suspek dan usaha giat dilakukan untuk menjejaki rakan subahatnya.

“Semakan mendapati suspek mempunyai 19 rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah penipuan yang menawarkan pinjaman wang dalam talian yang tidak wujud di sekitar Lembah Klang.

“Suspek juga pernah ditangkap dan dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kuala Muda membabitkan kes penipuan ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan / 511 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek direman empat hari bermula 4 Jun sehingga esok untuk membantu siasatan. — BH Online

Tags: , , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu