Social
135

Lelaki serang anggota bomba direman

Kuching – Lelaki yang menyerang anggota bomba dalam kejadian kebakaran di Kampung Belipat, Lawas, petang semalam, ditahan reman empat hari, mulai hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata polis meneruskan siasatan walaupun mangsa menarik balik laporan polis yang dibuatnya terhadap suspek berusia 30 tahun itu, malam tadi.

Aidi berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 332 kanun yang sama kerana mencederakan penjawat awam.

“Kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Video kejadian itu yang berdurasi 56 saat tular di media sosial sejak semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.18 petang itu, pada mulanya seorang lelaki dilihat mengamuk dan menghempas barang sambil memarahi anggota bomba yang sedang menjalankan tugas.

Tidak lama selepas itu, seorang lagi lelaki iaitu suspek utama tiba-tiba menyerang anggota bomba dari arah belakang menyebabkan anggota terbabit terjatuh.

Anggota bomba terbabit kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 9.14 malam tadi.

Bagaimanapun, kira-kira jam 12.45 tengah malam, anggota bomba terbabit menarik balik laporan yang dibuatnya selepas menerima permohonan maaf daripada pelaku yang menyesal dan menyedari kesalahan yang dilakukannya.

Difahamkan, lelaki yang menyerang anggota bomba terbabit mendakwa gagal mengawal emosi selepas melihat rumah pusaka mereka musnah terbakar. — BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu