Social
417

Lelaki seret kucing ditahan polis

Teluk Intan – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan video tular kejadian seekor kucing diseret seorang penunggang motosikal di Kampung Melayu, Langkap di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan ketika hadir untuk menyerah diri di Balai Polis Langkap pada pukul 9 malam.

Katanya, lelaki terbabit turut membuat laporan polis bagi menafikan berita tular itu.

“Suspek datang ke Balai Polis Langkap untuk membuat laporan penafian selepas diberitahu keluarganya berkaitan video tular itu.

“Menurut suspek, tujuan sebenar dia menangkap kucing itu adalah untuk dibuang di kawasan kedai makan berhampiran rumahnya.

“Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan, kaki depan kucing itu telah terkeluar dari jaring sauk dan menyebabkan kucing itu terseret di atas jalan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya telah pun mengambil keterangan lelaki itu dan dia telah dilepaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Katanya, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Kes ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya selepas siasatan selesai,” katanya.

Terdahulu, video tular berdurasi satu minit itu tular di media sosial setelah dimuat naik pengguna jalan raya hingga mendapat kecaman warga maya yang tidak berpuas hati dengan tindakan kejam lelaki itu. — Kosmo Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu