Social
82

Lelaki tikam rakan hingga mati direman

Kota Baharu : Seorang lelaki dikenali sebagai Man Siam yang dipercayai menikam kenalannya sehingga mati selepas mangsa dikatakan terpijak kepalanya ketika dia tidur, direman seminggu bagi membantu siasatan kes.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Amni Johari hari ini untuk membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Man Siam yang berusia lingkungan 20-an berjaya ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, kira-kira jam 2.45 petang semalam.

Warganegara Thailand itu ditahan ketika bersembunyi dalam semak tidak jauh dari lokasi kejadian di Kampung Che Arus, Bukit Merbau, Kok Lanas.

Media melaporkan, dalam kejadian jam 11.46 malam kelmarin, seorang lelaki ditikam oleh suspek berhampiran reban ayam di Kampung Che Arus, dipercayai berang kerana mangsa dikatakan terpijak kepalanya ketika dia sedang tidur.

Mangsa, Mohd Dailami Ashaari, 38, maut akibat empat tikaman di dada menggunakan golok kecil.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud dilaporkan berkata, sebelum kejadian, Mohd Dailami bersama bapa sepupunya pergi ke rumah seorang ahli keluarga mereka di lokasi kejadian.

Katanya, suspek tinggal di reban ayam di belakang rumah itu kerana bekerja sebagai penjaga ayam ternakan milik ahli keluarga mangsa sejak awal tahun ini.

Abdul Rahim berkata, Mohd Dailami yang mengenali suspek kemudian ke reban ayam terbabit untuk mencari lelaki berkenaan dan tidak lama kemudian, suspek datang ke rumah dan memberitahu dia sudah menikam mangsa menggunakan pisau atau golok kecil bersarung. – BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu