Social
96

Lelaki tumbuk, ugut bunuh bapa kerana dilarang keluar rumah

Baling – Seorang lelaki sanggup menumbuk bapanya dan mengugut untuk membunuh seluruh ahli keluarganya ketika mengamuk selepas tidak dibenarkan keluar dari rumah dalam kejadian di Kampung Charuk Bakap, Kuala Ketil, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, suspek berusia 27 tahun dipercayai hilang kawalan akibat ketagihan dadah telah bertindak kasar terhadap bapanya yang berusia 54 tahun.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsuddin Mamat berkata, suspek tidak dibenarkan keluar rumah kerana sering mengganggu orang ramai.

“Suspek yang tidak berpuas hati bertindak menumbuk bapanya pada bahagian dada sebanyak dua kali dan mengugut untuk membunuh semua ahli keluarga.

“Bapa suspek seterusnya menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, polis terus ke lokasi kejadian tetapi suspek enggan memberi kerjasama dan terus mengamuk di dalam rumah.

“Suspek kemudian ditahan polis dan dia mengalami kecederaan pada kepala dan mata akibat pergelutan semasa tangkapan dilakukan,” ujarnya.

Tambahnya, kejadian berpunca daripada ketagihan dadah yang dialami suspek.

“Suspek yang sedang dirawat di Hospital Baling akan direman dengan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya. — Utusan Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu