Nation
221

Lembaga Pengarah 1MDB terbabit ‘sandiwara’ dana di luar negara milik UMNO

Kuala Lumpur – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ahli lembaga pengarah syarikat itu terlibat sama dalam ‘sandiwara’ untuk tidak memasukkan dalam laporan rasmi bahawa dana 1MDB di luar negara adalah milik UMNO.

Mohd Hazem Abd Rahman, saksi ke-10 pendakwaan, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, Wan Aizuddin Wan Mohammed dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Ketika ditanya sebab beliau tidak memasukkan dalam rekod semasa mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 27 Feb 2014 bahawa dana yang ada di luar negara itu milik UMNO, Mohd Hazem, 49, berkata “itu merupakan rancangan jahat dan tidak sepatutnya dimasukkan dalam rekod.”

Wan Aizuddin: Kamu mendakwa konspirasi ini disertai oleh semua ahli lembaga pengarah?

Mohd Hazem: Ya

Wan Aizuddin: Kamu katakan bahawa apa yang dilaporkan dalam minit mesyuarat itu hanya sekadar lakonan?

Mohd Hazem: Mereka tahu apa yang menjadi taruhan.

Wan Aizuddin: Jadi, apa yang kamu katakan ialah apa juga yang dicatat dalam minit mesyuarat lembaga pengarah (untuk membawa pulang dana dari luar negara) itu hanya sekadar cakap. Adakah kamu kata semua itu satu sandiwara besar?

Mohd Hazem: Ya

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tidak ada satu sen pun wang yang dibawa balik dari luar negara tersebut dimasukkan ke dalam akaun bank UMNO.

Mohd Hazem juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau tidak pernah mendengar daripada mulut Najib bahawa dana itu kepunyaan UMNO, namun hanya berasaskan pada kenyataan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Beliau berkata berdasarkan minit mesyuarat 1MDB, pemegang taruh syarikat (Najib) sememangnya berhasrat untuk membawa balik wang di luar negara itu ke Malaysia.

Pada 6 Jan lepas, Mohd Hazem memberi keterangan bahawa 1MDB ditubuhkan bagi faedah UMNO dan perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Jho Low.

Najib, 67, yang menjalani pembedahan mata minggu lepas, dilihat duduk di dalam kandang tertuduh dengan berkaca mata hitam.

Beliau menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu