Nation
190
0

LHDN saman dua lagi sekutu Jho Low

Kuala Lumpur – Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman terhadap dua rakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Mereka ialah Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, yang juga bekas pegawai kanan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), supaya membayar tunggakan cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM6.8 juta dan RM2.5 juta.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN secara berasingan terhadap Casey Tang, 56, bekas Pengarah Eksekutif 1MDB dan Jasmine Loo, 43, bekas peguam 1MDB, selaku defendan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Disember tahun lalu dan 8 Januari lalu.

Mengikut senarai kes mahkamah, saman terhadap Casey Tang ditetapkan untuk sebutan secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat hari ini, yang kemudiannya menetapkan 8 Mac ini untuk pengurusan kes itu, manakala Timbalan Pendaftar, Farah Shuhada Ramli menetapkan 18 Februari ini untuk pengurusan kes Jasmine Loo.

Menerusi pernyataan tuntutan yang dikemukakan terhadap Casey Tang, kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-Tahun Taksiran 2009 sehingga 2017, defendan sudah ditaksirkan dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM260,560.26, RM473,004.48, RM1,600,810.12, RM257,694.20, RM1,074,455.28, RM1,428,296.28, RM701,285.00, RM310,502.16 dan RM57,866.40 melalui Notis-notis Taksiran (Tambahan) masing-masing bertarikh 30 September tahun lalu.

Plaintif mendakwa Notis-notis Taksiran (Tambahan) itu sudah dihantar secara Akaun Terima Berdaftar (A.R) kepada defendan pada 6 Oktober tahun lalu ke alamat terakhirnya di Taman Sri Endah, di sini yang diketahui oleh plaintif pada masa itu, dan notis berkenaan sudah diterima dan ditandatangani melalui pengembalian semula kad kuning A.R.

Menurut plaintif, seterusnya lebihan kredit RM972.00 digunakan dan ditolak sebagai sebahagian bayaran cukai pendapatan bagi Tahun Taksiran 2009 (Tambahan) itu, meninggalkan baki yang masih terhutang dan perlu dibayar sebanyak RM259,588.26 bagi tahun taksiran berkenaan.

Plaintif mendakwa, oleh kerana defendan gagal membayar jumlah cukai pendapatan bagi Tahun-Tahun Taksiran 2009 sehingga 2017 dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian Notis-notis Taksiran (Tambahan) seperti ditetapkan mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan kenaikan cukai sebanyak 10 peratus, defendan perlu membayar semuanya berjumlah RM6,779,852.36, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, menerusi pernyataan tuntutan terhadap Jasmine Loo, kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-Tahun Taksiran 2012 dan 2014, defendan sudah ditaksirkan dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM1,495,366.08 dan RM571,979.72 melalui Notis-Notis Taksiran (Tambahan) masing-masing bertarikh 19 Okt 2020.

Plaintif mendakwa Notis-notis Taksiran (Tambahan) itu sudah dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 18 November tahun lalu ke alamat terakhirnya di Damansara Heights, di sini yang diketahui oleh plaintif pada masa itu, namun notis berkenaan tidak pernah dikembalikan kepada plaintif.

Menurut plaintif, bagi Tahun Taksiran 2016, defendan ditaksirkan dengan cukai pendapatan berjumlah RM75,292.96 melalui Notis Taksiran bertarikh 19 Oktober tahun lalu dan dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 18 November tahun sama ke alamat sama, namun notis itu tidak tidak pernah dikembalikan kepada plaintif.

“Defendan juga gagal mengemukakan Borang-borang Nyata Orang Perseorangan mengikut Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun-tahun taksiran 2017 dan 2018 kepada plaintif dalam tempoh masa ditetapkan iaitu pada atau sebelum 30 April 2018 dan 30 April 2019.

“Satu taksiran berjumlah RM76,510.72 dan RM50,062.40 (termasuk penalti mengikut Seksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan 1967) sudah dibangkitkan melalui Notis-notis Taksiran bertarikh 19 Okt 2020 dan Notis-notis Taksiran bagi 2017 dan 2018 yang telah dihantar ke alamat terakhir defendan juga tidak pernah dikembalikan kepada plaintif,” katanya.

Plaintif berkata, oleh kerana defendan gagal membayar jumlah cukai dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian notis taksiran itu, kenaikan cukai 10 peratus dikenakan yang kesemuanya berjumlah RM2,496,133.05.

Oleh itu, plaintif menuntut cukai pendapatan defendan yang masih terhutang kesemuanya berjumlah RM2,496,133.05, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 15 Januari lalu, kerajaan Malaysia memfailkan saman terhadap seorang lagi sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong memintanya membayar cukai pendapatan berjumlah RM68 juta. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu