Kuala Lumpur Post

Nation

Lindungi minda kanak-kanak daripada ketagihan aktiviti, permainan dalam talian

KUALA LUMPUR — Seorang daripada empat remaja di negara ini, dilaporkan mengalami tekanan emosi manakala seorang daripada lapan remaja berumur 10 hingga 19 tahun pula, menghadapi gangguan kesihatan mental, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022.

Lebih membimbangkan, kajian tersebut turut mendapati seorang daripada 10 remaja mempunyai niat untuk membunuh diri, peningkatan berbanding lebih sedekad yang lalu.

Apabila penggunaan media sosial dalam kalangan remaja semakin meningkat, kesannya terhadap kesihatan mental semakin membimbangkan sehingga boleh mengakibatkan buli siber, keresahan dan kemurungan.

Pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja di Pusat Perubatan Sunway Dr Tee Bee Chin berkata adalah penting untuk mengesan tanda-tanda awal ketagihan aktiviti serta permainan dalam talian, yang boleh mendatangkan kesan-kesan sampingan.

Beliau berkata ketagihan terhadap aktiviti dan permainan dalam talian, boleh mengakibatkan satu tindak balas negatif dengan pantas dan ia sering menjadi masalah sekunder dalam masalah utama, seperti kesukaran pembelajaran, konflik sosial dengan rakan sebaya serta perbalahan keluarga.

“Ini boleh dilihat melalui tanda-tanda seperti mengasingkan diri daripada aktiviti harian, peningkatan kepada toleransi terhadap masa yang dihabiskan di hadapan skrin dan keasyikan terhadap aktiviti dalam talian.

“Kami menggunakan asas piawaian untuk mendiagnosis ketagihan, seperti mempertimbangkan faktor-faktor seperti masa yang dihabiskan dalam talian, kesan ke atas kehidupan harian serta kegagalan untuk mengurangkan masa yang dihabiskan di hadapan skrin,” katanya.

Dr Tee berkata penggunaan Internet secara berpanjangan juga boleh menyebabkan keresahan, kemurungan dan isu-isu kesihatan mental yang lain, seterusnya menjejaskan kehidupan seseorang kanak-kanak secara fizikal dan mental.

Beliau berkata penyelidikan jelas menunjukkan hubung kait yang signifikan antara penggunaan media sosial yang ketara dengan gejala-gejala kemurungan, kegelisahan sosial dan simptom fizikal, yang menunjukkan keresahan terutamanya dalam golongan remaja perempuan.

“Saya juga telah melihat hubung kait antara permainan video yang ganas dengan tingkah laku agresif pada kanak-kanak. Permainan yang melibatkan pencarian musuh atau menyelesaikan misi yang agresif, boleh mencetuskan tindak balas yang ganas dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Selain itu, Dr Tee berkata satu kajian terbaharu juga telah menunjukkan, remaja yang terdedah kepada permainan video yang ganas dengan lebih kerap boleh menunjukkan tahap kemarahan yang lebih tinggi, sering bertelagah dengan guru, penglibatan dalam pergaduhan fizikal yang lebih kerap dan prestasi sekolah yang merosot.

Beliau berkata punca-punca yang menyebabkan terjejasnya kesihatan mental dalam kalangan remaja ialah buli siber, takut ketinggalan, ketagihan dan perilaku kompulsif, kurangnya interaksi secara bersemuka dan informasi yang berlebihan.

Justeru bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Dr Tee menekankan kepentingan melindungi kesihatan mental kanak-kanak pada era digital ini, dengan mengenali tanda-tanda gangguan emosi, mendapatkan bantuan awal dan memupuk persekitaran yang positif.

Beliau berkata pengesanan awal dan rawatan yang tepat pada masanya, boleh mengurangkan risiko bunuh diri serta meningkat mekanisme untuk menghadapi tekanan, terutamanya bagi mereka yang bergelut dengan kemurungan, kegelisahan serta kesepian semasa menjalani rawatan.

“Pelbagai rawatan dan terapi dalam menangani kesihatan mental kanak-kanak termasuk kaunseling untuk menangani stres, terapi tingkah laku kognitif, terapi menghadapi kesedihan, terapi trauma, terapi bermain untuk kanak-kanak kecil, terapi keluarga dan ubat-ubatan seperti antidepresan dan antikegelisahan untuk simptom yang teruk.

“Pelbagai rawatan dan terapi mesti disesuaikan kepada keperluan individu serta beberapa faktor lain seperti umur, sokongan, kebolehan yang sedia ada untuk mengatasi masalah, ciri-ciri peribadi serta penerimaan diagnosis atau rawatan oleh kanak-kanak dan keluarga mereka,” katanya.

Dr Tee berkata ibu bapa perlu mencari rawatan dan nasihat yang sewajarnya daripada pakar kesihatan, yang memahami cabaran untuk menghadapi ketagihan aktiviti dan permainan dalam talian ini.

“Kumpulan sokongan boleh menawarkan pertolongan kepada para remaja yang berhadapan dengan cabaran ini. Mereka akan dapat merasakan ketenangan dalam persekitaran di mana orang dewasa dan rakan-rakan menerima mereka seadanya, tanpa perlu mengubah diri mereka.

“Untuk memastikan keberkesanannya, kumpulan sokongan khusus yang terdiri daripada pakar psikologi kanak-kanak yang terlatih dengan teknik kaunseling yang betul, boleh memberi manfaat tambahan kepada rawatan untuk pesakit yang mungkin lebih selesa untuk berada antara mereka yang mengalami masalah yang sama,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,