Social
340

Lori tangki bawa minyak masak langgar tiang plaza tol

Bukit Mertajam – Sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak masak mengalami kebocoran selepas terbabit kemalangan di Plaza Tol Juru, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pemandu lori berusia dalam lingkungan 50-an itu melanggar sisi tiang rumah tol hingga menyebabkan muatan minyak masak yang dibawanya tumpah akibat berlaku kebocoran pada tangki.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian.

“Setiba di lokasi, kami dapati terdapat kebocoran minyak masak pada sebuah lori tangki muatan 20,000 liter selepas ia melanggar tiang sisi rumah tol.

“Pasukan Bomba bersama Squad Response Team PLUS menjalankan kerja-kerja proses menghentikan kebocoran pada tangki dan melakukan pembersihan di kawasan tumpahan minyak sehingga selesai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jurucakap itu berkata, pemandu lori cedera ringan pada kaki dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

Operasi ditamatkan pada jam 1.30 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad mengesahkan kejadian tumpahan minyak berkenaan.

“Polis belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian dan akan melakukan semakan dengan pihak PLUS berhubung insiden ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, insiden itu menyebabkan aliran trafik sesak sejauh kira-kira tiga kilometer. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu