Social
192

Love scam : Peniaga rugi RM105,523

Seremban – Seorang peniaga wanita berusia 36 tahun dari Felda Serting Hilir, Jempol, mengalami kerugian RM105,523 selepas diperdaya seorang lelaki yang dikenalinya menerusi Facebook, sejak hujung 2018.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa berkenalan dengan pemilik Facebook bernama ‘KA Agus’ dari Palembang, Indonesia.

“Pada awalnya mereka hanya berinteraksi dalam ‘Messenger’ Facebook dan kemudian berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Selepas itu, lelaki berkenaan meminta wang daripada mangsa untuk membantu masalah kewangan yang dihadapinya.

“Lelaki itu sering meminta wang bagi menyelesaikan masalah keluarganya selain berjanji akan membayar kesemua pinjaman itu selepas menjual tanahnya di Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata atas dasar percaya, wanita berkenaan mengirimkan wang kepada lelaki itu secara berperingkat ke 19 akaun yang berbeza bermula 31 Ogos 2019, membabitkan 37 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM105,523.

Katanya, cara pengiriman wang kepada lelaki berkenaan dilakukan menerusi ejen kiriman wang seperti Bank Central Asia, Bank Rakyat Indonesia dan Bank Mandiri Indonesia di sekitar Bahau.

Aibee berkata, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis pada Isnin lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta menerusi laman sosial supaya tidak menjadi mangsa penipuan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu