Social
196

Love Scam: Wanita rugi lebih RM400,000

Kuantan – Seorang wanita kerugian RM418,400 akibat diperdaya sindiket Love Scam, selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi mencari jodoh.

Pada 22 Disember lalu, mangsa berusia 28 tahun yang tinggal di Jerantut, menerima mesej melalui aplikasi itu daripada lelaki memperkenalkan diri sebagai Khalish.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek mendakwa dirinya orang Melayu Islam yang menetap di Perancis dan bekerja sebagai ahli perniagaan.

“Mangsa dan suspek kemudian berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

“Pada 26 Disember lalu, suspek memaklumkan mahu memberi hadiah wang kepada mangsa dan meminta wanita itu memberikan nombor akaun bagi tujuan pemindahan wang.

“Susulan itu, mangsa memberi nombor akaunnya kepada suspek yang kemudian menghantar sekeping gambar cek bernilai 18,000 euro (kira-kira RM88,000),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, keesokannya, mangsa menerima satu pesanan e-mel memaklumkan kononnya mangsa akan menerima wang berjumlah RM89,700 tetapi perlu membuat pembayaran sebanyak RM2,000.

Namun, beliau berkata, suspek berterusan meminta ‘wang proses’ kononnya untuk tujuan mendapatkan hadiah duit itu dan ia dipercayai mangsa.

“Bermula 27 Disember hingga 19 Februari lalu, mangsa membuat 44 transaksi kemasukan wang dengan jumlah keseluruhan RM418,400 membabitkan sembilan akaun bank,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Wazir berkata, mangsa tiada menerima wang dijanjikan itu hingga kini lalu nekad membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menggunakan wang simpanan ibunya untuk diberikan kepada suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu