Nation
113

LRT masih jadi pilihan tapi minta aspek keselamatan dipertingkat : Pengguna

Kuala Lumpur – Kemalangan melibatkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya bertembung malam tadi tidak menjejaskan orang ramai untuk terus menggunakan pengangkutan awam tersebut.

Pembantu perpustakaan Asfa Abdullah, 24, berkata beliau maklum mengenai kejadian malam semalam tetapi tetap memilih menaiki LRT kerana berpandangan kemalangan tidak dapat dielakkan sama ada menggunakan kenderaan awam atau persendirian.

“Risiko itu tetap ada walaupun kita naik kenderaan sendiri, cuma saya harap aspek keselamatan penumpang dipertingkat bagi mengelakkan insiden sama berulang,” katanya ketika tinjauan Bernama di Stesen LRT KLCC hari ini.

Pekerja swasta Eliana Masiran, 39, pula berkata beliau tetap meneruskan perjalanan ke tempat kerja menggunakan tren kerana lebih mudah memandangkan beliau bekerja di pusat bandar.

“Sebelum ini saya naik motosikal tetapi memilih LRT sejak mengandung kerana lebih selamat. Walaupun saya ada kereta , LRT lebih kondusif dan lebih murah, pandu kereta sendiri kena bayar parkir yang mahal pula ” katanya yang sedang sarat hamil.

Pembantu kedai Muhd Azlan Elfi Mohd Faizul, 17, pula mengakui bimbang untuk menaiki tren dalam masa terdekat dan perlu mengambil sedikit masa untuk kembali yakin menggunakan kemudahan tersebut.

“Selalunya saya memang menggunakan perkhidmatan LRT dari Stesen Damai ke Stesen KLCC kecuali hari ini saya minta tolong ayah hantar kerana gangguan servis, ” katanya.

Pentadbir Teknologi Maklumat Mohd Zubair Ab Ghani, 35, pula yang menaiki LRT dari Stesen Wangsa Maju ke Stesen Ampang Park berkata susulan kejadian malam tadi keadaan dalam tren agak ramai dan sesak kerana penggunaan satu landasan tren sahaja.

“Tren juga berhenti lama 20 minit di setiap stesen menyebabkan ramai yang menunggu dan memenuhi ruang tren, biasanya masa perjalanan hanya 15 minit, tapi pagi ini sejam lebih,” katanya.

Dalam kejadian pada 8.45 malam tadi, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru melibatkan tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong semalam dipetik sebagai berkata tren LRT bertembung adalah kejadian pertama kali dalam 23 tahun sejarah operasinya. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu