Social
97

Mahkamah batal saman ibu model Belanda terhadap polis, kerajaan

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman yang difailkan ibu mendiang Ivana Esther Robert Smit terhadap polis, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia yang didakwa melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian model Belanda itu.

Peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu semasa prosiding pengurusan kes tersebut yang berlangsung secara dalam talian.

“Hakim itu, tanpa sebarang permohonan daripada defendan, telah membatalkan saman plaintif atas alasan penyataan tuntutan tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Kami akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini,” katanya.

Verstappen, 57, telah memfailkan saman itu pada 20 Nov tahun lepas dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi ASP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutan, Verstappen berkata anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini pada 7 Dis 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Verstappen berkata beliau dimaklumkan mengenai kematian anaknya pada atau sekitar petang 7 Dis 2017 dan berlepas ke Kuala Lumpur dari Belanda untuk mengesahkan serta menyiasat kejadian itu.

Sejurus tiba di Malaysia pada 9 Dis 2017, Verstappen berkata defendan telah memintanya mengenal pasti mayat anaknya di Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, beliau turut dimaklumkan defendan dan seseorang bernama Sarjan Haliza (pegawai penyiasat pertama) jasad mangsa ditemukan dalam keadaan bogel di balkoni tingkat enam kondominium itu dan bahawa anaknya telah membunuh diri.

Beliau berkata defendan telah membuka kertas siasatan di bawah laporan kematian mengejut (SDR) pada 7 Dis 2017 dan menutup kes itu selepas merumuskannya sebagai mati mengejut atau bunuh diri.

Verstappen berkata beliau tidak boleh menerima rumusan itu kerana perkara tersebut amat sukar dipercayai dan terkejut dengan tindakan defendan yang hanya membuka kertas siasatan di bawah SDR, oleh itu mendakwa tindakan defendan adalah perlanggaran jelas prosedur operasi standard dan amalan terbaik dalam siasatan polis.

Beliau juga berkata Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan agar satu inkues diadakan bagi menentukan punca kematian anaknya dan pada 8 Mac 2019, Koroner Mahyon Talib memutuskan kes itu sebagai satu ‘insiden malang.’

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, Verstappen mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 Nov 2019, Hakim Collin Lawrence Sequerah mengenepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan ‘kematian yang disebabkan oleh seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali’ dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan Polis Diraja Malaysia memulakan siasatan.

Beliau mendakwa defendan gagal atau cuai dalam menjalankan kewajipan statutori mereka secara sengaja atau sebaliknyan dan melanggar kewajipan statutori mereka terhadap mangsa serta plaintif.

Verstappen mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barangan peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu