Nation
285

Mahkamah benar Rosmah dapat semula pasport ke Singapura

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Singapura.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rosmah selaku pemohon untuk mendapatkan pasportnya dikembalikan sementara.

Permohonan pasport itu berikutan Rosmah mahu menemani anak perempuannya Nooryana Najwa yang sedang sarat mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya di Singapura.

“Pasport pemohon dipulang pada 15 Oktober 2021 (hari ini) dan mesti dikembalikan pada atau sebelum 6 Disember dengan syarat pemohon hanya boleh  ke luar negara iaitu ke Singapura dari 22 Oktober 2021 dan mesti pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021,” kata Mohamed Zaini.

Namun sebelum ke Singapura, Rosmah perlu menghadiri prosiding perbicaraan bela diri yang akan bersambung pada 21 Oktober ini.

Terdahulu, peguam Datuk Jagjit Singh memberitahu mahkamah anak perempuan pemohon, Nooryana Najwa sedang sarat mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya di Singapura.

Sehubungan itu, peguam itu memohon pasport anak guamnya dilepaskan sementara dan akan dipulangkan pada 24 November ini.

Dalam prosiding itu permohonan tersebut tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Bagaimanapun, pendakwaan berkata pemohon tidak boleh menggangu tarikh perbicaraan dan memohon garis masa yang ditetapkan.

Dalam prosiding hari ini, Rosmah tidak hadir dan hanya mewakilkan peguam bagi pendengaran permohonan itu.

Semalam, Mahkamah Tinggi menetapkan hari ini bagi permohonan Rosmah Mansor untuk pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Singapura.

Dalam permohonan difailkan, isteri bekas Perdana Menteri Najib Tun berkata beliau mahu menemani anaknya Nooryana Najwa yang bakal melahirkan anak kedua tidak lama lagi.

Rosmah berkata, beliau merancang perjalanan dari hujung Oktober hingga awal Disember, dan mengharapkan kerjasama polis serta Jabatan Imigresen.

Nooryana dan suaminya, rakyat Kazakhstan Daniyar Kessikbayev, kini menetap di Singapura.

Rosmah berkata beliau mahu menemani anaknya untuk memberikan sokongan mental dan emosi, lapor Kosmo Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu