Social
69

Mahkamah kekal perintah Awie perlu bayar RM80,000 kepada bekas isteri

Putrajaya – Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan pelakon dan penyanyi Datuk Ahmad Azhar Osman, atau lebih dikenali sebagai Awie, membayar ganti rugi RM80,000 kepada Rozana Misbun kerana mencederakan bekas isterinya itu tujuh tahun lepas.

Rozana telah memfailkan saman sivil pada 2017 terhadap Awie memohon ganti rugi bagi kecederaan yang dialaminya akibat dipukul pelakon itu yang didakwa berlaku di tiga lokasi termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Jalan Tun Razak pada 2014.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Awie dan mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Rozana.

Nor Bee berkata ganti rugi am RM30,000 bagi kesakitan serta penderitaan dan ganti rugi teruk RM50,000 bagi tekanan serta rasa malu yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen kepada Rozana adalah adil dan munasabah berdasarkan kecederaan yang dialaminya.

Mahkamah Tinggi telah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu sehingga menyebabkan Awie membawa perkara tersebut ke Mahkamah Rayuan.

Nor Bee yang bersidang bersama-sama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Ghazali Cha memutuskan bahawa tidak ada merit dalam rayuan Awie serta memerintah beliau membayar RM15,000 sebagai kos.

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata panel itu tidak berpuas hati dengan hujah bahawa Mahkamah Sesyen telah terkhilaf atau tersalah arah dari segi undang-undang, fakta atau bukti dalam kes tersebut.

“Responden (Rozana) memberi keterangan bahawa ketiga-tiga insiden memang berlaku dan Mahkamah Sesyen menerima keterangan itu serta mendapati beliau adalah saksi yang boleh dipercayai dan perkara ini telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

Beliau berkata mahkamah juga tidak bersetuju dengan hujah peguam Hazman Harun yang mewakili Awie bahawa Rozana adalah terhalang daripada memfailkan tindakan sivil berhubung insiden itu selepas beliau bersetuju menyelesaikan kes tersebut melalui bayaran kompaun.

Pada Mei 2016, Mahkamah Majistret Ampang membebas dan melepaskan Awie daripada pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana selepas penyanyi rock kumpulan Wings itu membayar kompaun sebanyak RM10,000 serta meminta maaf secara terbuka dalam mahkamah kepadanya.

“Pada pandangan kami, membayar kompaun bagi kesalahan itu adalah perkara yang berkaitan dengan undang-undang serta prosedur jenayah dan tidak mempunyai sebarang kesan ke atas hak responden (Rozana) untuk memfailkan tindakan sivil terhadap perayu (Awie) bagi mendapatkan remedi berdasarkan fakta yang sama dalam pertuduhan bagi insiden pertama,” kata Nor Bee.

Beliau berkata Awie turut didakwa bagi kes kedua iaitu mencederakan Rozana di kaunter PNB dan penyanyi itu telah mengaku bersalah serta didenda sebanyak RM2,000.

Hakim itu berkata meskipun tiada pertuduhan dikenakan terhadap Awie bagi insiden ketiga yang didakwa berlaku di kawasan parkir PNB namun Rozana telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Awie menafikan bahawa insiden ketiga itu berlaku dan memfailkan tuntutan balas terhadap Rozana atas dakwaan pecah amanah kerana telah menggunakan wang yang disimpan untuk pendidikan anak mereka. Bagaimanapun, tuntutan balas itu telah ditolak oleh Mahkamah Sesyen.

Rozana diwakil peguam Azlan Abd Roni, Nasyrah Ezzan Ali dan Ahmad Fakhri Abu Samah, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu