Nation
373

Mahkamah perintah Hamzah putuskan rayuan Pejuang dalam 14 hari

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat keputusan berhubung rayuan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) untuk mendaftar parti itu dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan permohonan Pejuang untuk semakan kehakiman terhadap tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu, lapor Bernama.

Dalam penghakimannya, Ahmad Kamal berkata responden pertama (Menteri Dalam Negeri), tidak boleh mengambil masa terlalu lama untuk memutuskan rayuan tersebut kerana perkara yang terlibat tidak terlalu rumit dan berpendapat bahawa masa yang diambil oleh Menteri Dalam Negeri dalam memutuskan rayuan itu, kira-kira lima setengah bulan, dari 8 Jan, 2021, adalah melebihi masa yang diperlukan.

“Saya setuju dengan responden (Menteri Dalam Negeri dan RoS) bahawa adalah perlu bagi responden pertama untuk meneliti setiap rayuan sebelum membuat keputusan. Namun, berdasarkan fakta dan keadaan kes, masa yang diambil responden pertama untuk meneliti semakan rayuan mestilah masa yang munasabah atau sewajarnya.

“Dalam kes ini, saya berpendapat bahawa tidak ada masalah rumit yang terlibat dalam membuat keputusan. Alasan yang dikemukakan oleh responden pertama mengenai kesibukannya tidak kukuh. Responden pertama mempunyai pegawai untuk membantunya semua tugas-tugasnya, termasuk menyiapkan semua dokumen dan fail yang relevan untuk responden pertama memutuskan rayuan yang difailkan oleh pemohon (Pejuang),” katanya dalam penghakiman bertulis 32 halaman yang diperoleh media hari ini.

Ahmad Kamal berkata walaupun mengikut Akta Pertubuhan 1966 atau Akta Tafsiran 1948 dan 1967, responden pertama tidak dikehendaki memberikan anggaran masa tetapi tanpa jangkaan masa akan menyukarkan responden pertama mewajarkan masa yang diambil untuknya membuat keputusan pada masa yang munasabah.

“Bagi saya, jangka waktu yang tidak diketahui tidak boleh ditafsirkan sebagai masa yang wajar dalam kes ini. Responden berhujah bahawa terdapat 102 rayuan untuk responden pertama putuskan.

“Namun, tidak jelas bagi saya berapa banyak daripada 102 rayuan yang berkaitan dengan pendaftaran parti politik dan berapa banyak rayuan lain yang mempunyai tahap kepentingan dan mendesak yang memerlukan responden pertama mengambil tindakan lebih cepat untuk putuskan,” katanya.

Beliau berkata walaupun ada kes dan rayuan lain untuk dipertimbangkan oleh responden pertama, masa yang diperlukan untuk memutuskan rayuan Pejuang tidak boleh terlalu lama kerana isu tersebut tidak melibatkan masalah yang rumit.

Hakim itu berkata adalah jelas bahawa responden pertama adalah satu-satunya orang yang akan membuat keputusan dan prosesnya tidak melibatkan orang lain yang perlu mengemukakan pandangan dan pendapat mereka, dan oleh itu proses membuat keputusan tidak memerlukan masa yang lama.

“Saya maklum, sebagai menteri, responden pertama mempunyai fungsi dan tugas lain, tetapi bagi saya tempoh lima setengah bulan tidak munasabah baginya dalam membuat keputusan itu,” katanya.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu