Kuala Lumpur Post

Social

Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman mati 6 lelaki bunuh Kevin Morais

PUTRAJAYA — Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati terhadap enam lelaki, termasuk seorang bekas doktor tentera, atas sabitan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais lapan tahun lalu.

Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan boleh dirayu dalam undang-undang dan fakta untuk mengetepikan sabitan itu.

Katanya, fakta mendedahkan pembunuhan itu dirancang dengan baik dan ada cubaan menyembunyikan bukti seperti membakar kereta mangsa.

“Pembunuhan itu amat mengerikan dan fakta kes boleh dianggap paling jarang berlaku,” katanya yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas enam lelaki itu pada 10 Julai 2020 yang didapati bersalah membunuh Morais pada 4 Sept 2015, di suatu tempat antara Sentul, Kuala Lumpur dan Subang Jaya di Selangor.

Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium di Menara Duta, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta rasminya. Mayatnya ditemui dalam tong dram berisi simen di Subang Jaya 12 hari kemudian.

Mahkamah Tinggi memutuskan bekas pakar patologi, R Kunaseegaran, pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandran dan empat penganggur, R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath serta S Nimalan mempunyai niat bersama untuk membunuh Morais.