Kuala Lumpur Post

Social

Mahkamah tetapkan kes bunuh Bella 11 Mac

PETALING JAYA — Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula prosiding kes pembunuhan seorang wanita Mila Sharmila Samsusah atau Bella oleh teman lelakinya, Disember lalu.

Majistret Suhaila Shafi’uddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid memaklumkan pihaknya belum menerima laporan forensik, lapor Berita Harian.

Siti Khalijah memaklumkan hanya laporan forensik belum diterima bagi membolehkan pihaknya memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Muar.

Peguam Syahril Anuar yang mewakili tertuduh Mohammad Haikal Mahfuz mencadangkan tarikh berkenaan kepada mahkamah dan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan mahupun Nur Aminahtul Mardiah Md Nor selaku peguam pemerhati keluarga Bella.

Pada 24 Januari lalu, Haikal, bekas posmen didakwa atas pertuduhan membunuh Bella, namun tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh didakwa membunuh mangsa antara 11 malam 14 Dis 2023 hingga 5.30 pagi 15 Dis 2023 di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar, dan juga di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kehilangan Bella pada malam 14 Dis lalu, terungkai apabila polis menemui rangka kurang sempurna dalam sebuah rumah sewa di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, pada pagi Jumaat, 19 Dis lalu.

Penemuan mayat itu susulan penahanan tertuduh sejurus tiba di tanah air daripada menunaikan umrah bersama keluarganya sebelum dipandu arah ke lokasi.

Tags: